Posted by admin | Under Berita Terkini
Tuesday Jan 27, 2009
Di dalam hidup, rintangan, ujian dan halangan adalah lumrah.
Tidak kisah apa usaha anda, jangan sesekali putus asa. Walau apa pun yang mendatang kepada anda, hadapi ia dengan cekal dan tabah.
Lama kelamaan, hati anda akan teguh dan kuat di dalam mengharungi hidup ini.
Bagi diri saya sendiri sebagai contoh, walau pun saya sudah lama melakukan bisnes, namun cabaran tetap ada dan saya bukanlah seorang yang kuat motivasi. Terkadang rasa kecewa juga dengan karenah pelanggan dan masalah yang menimpa.
Namun, saya anggap itu semua asam garam di dalam membentuk diri saya agar lebih kuat dan berani melakukan usaha perniagaan. Saya tidak boleh lari, kecewa dan putus asa.
Jika kita putus asa, bermakna kita telah menghukum diri sendiri.
Seperkara lagi, jika direnungkan baik-baik, hanya diri kita yang akan menentukan ke mana dan apa yang akan kita lakukan/dapat. Jelas, kita mempunyai pilihan dan bukan orang lain yang akan menentukan.
Petua: Jika anda berasa putus asa dalam sesuatu usaha, teruskan usaha tersebut.
Posted by admin | Under Berita Terkini
Saturday Jan 17, 2009
Pertama sekali, saya nyatakan bahawa saya setuju dengan langkah memboikot produk-produk US dan juga Israel. Tetapi secara ikhlas, tidak semua produk saya boikot terutama barangan yang tiada pilihan lain.
Boikot bukan satu hukum muktamad, tetapi ia hanyalah ijtihad sebahagian para ulama’. Ia hanya akan menjadi wajib apabila pemimpin negara kita mewajibkan boikot. Tapi setakat ini pemimpin negara kita menyatakan ia terserah kepada rakyat untuk boikot atau tidak. Maka ia tidak wajib.
Di artikel ini, saya hanya menyatakan pendirian saya sahaja mengenai tindakan boikot dari segi pro dan kontranya, serta pemikiran jangka panjang. Teruskan membaca…
Setiap kali berlaku penindasan atau penghinaan terhadap Agama Islam oleh orang-orang kafir, maka salah satu tindakan yang akan dilakukan oleh orang Islam adalah memboikot barangan dan produk keluaran kafir Israel dan juga US.
Persoalannya, adakah hanya ini yang mampu dilakukan oleh umat Islam? Soalan seterusnya adalah sampai bila?
Boikot memang menjadi dan berkesan. Tapi ia hanyalah senjata jangka pendek. Apabila semua telah reda, umat Islam kembali menggunakan produk-produk kafir US dan Israel. Terkadang saya tertanya, adakah boikot ini hanya satu sikap dan semangat yang bermusim sahaja?
Jika ingin boikot, boikot sepenuh hati dan dalam masa yang sama, berusahalah untuk membina diri di dalam bidang masing-masing iaitu menjadi kaya dari segi harta, jiwa dan taqwa.
Kopi Israel
Jika kita kata produk kopi itu adalah “kopi Israel”, mengapa kita tidak buat kopi sendiri dan sama-sama mengangkat produk orang Islam sendiri (contoh: Kopi Radix HPA)? Kebanyakan blog atau media hanya menyuruh memboikot, tapi banyak mana yang cuba mempromosikan produk orang-orang Islam secara spesifik dan bersungguh-sungguh?
Contohnya, jika ada produk daripada perusahaan Islam, sebut terus namanya, tempat atau nama produk. Sebaliknya bukan hanya menyatakan secara umum seperti “belilah produk buatan orang Islam”.
Sesungguhnya kita orang Islam amat kurang orang-orang yang kaya raya jiwa dan hartanya. Mungkin selama ini kita hanya fokus kepada pembinaan dalaman dan amat kurang kepada keduniaan. Akhirnya ketidakseimbangan berlaku.
Akibatnya, berlaku konflik dalam diri umat Islam sendiri. Kejar dunia dikatakan salah, kejar akhirat dunia tertinggal. Inilah puncanya iaitu kesalah-fahaman erti sebenar roh Islam. Maka jangan salahkan si kafir kerana kita sendiri keliru dengan Agama sendiri.
Maka saranan saya, jika ada kawan-kawan kita, saudara mara, ahli keluarga yang di dalam proses mencapai kejayaan atau mempunyai potensi untuk berjaya, berilah sokongan padu. Usahlah dengki dan mahu melihat mereka susah dan tidak berjaya.
Konflik Dalaman
Konflik umat Islam bukan hanya dari pihak orang-orang kafir seperti Israel atau dalam erti kata lain musuh Islam. Malah kegoyahan Islam dan umatnya adalah terhasil daripada sikap dan jatidiri orang Islam sendiri.
Andaikata sebahagian besar orang Islam berjaya, kaya, beriman, berjati-diri, insyaAllah tidak mudah kita ditindas, dipersenda dan diperlekehkan. Orang-orang kafir akan gentar dan menghormati.
Tidak perlu semua orang Islam kaya harta, cukuplah sebahagian besar. Yang penting, miskin atau kaya memiliki hati yang bersih dan memiliki jiwa cintakan Agama melebihi kepentingan sendiri.
Sudah sampai masanya (sepatutnya sejak dulu lagi) untuk kita lupakan persengketaan sesama sendiri atau hanya mementingkan perut sendiri. Berusahalah apa yang kita paling mampu dengan kaedah dan cara tersendiri di samping memiliki jatidiri dan memahami Islam yang kita anuti ini.
Kesimpulan
Penindasan di Palestin bukan cerita baru, malah ia adalah cerita yang telah lama bermula. Namun sejak ia bermula, apakah yang telah orang-orang Islam lakukan? Hanya mampu berteriak dari jauh? Demonstrasi? Boikot?
Ini semua tidak cukup dan tidak memadai walaupun ia juga termasuk dalam usaha. Kita perlukan kekuatan dari segi lain seperti ekonomi, pendidikan, kekuatan jiwa dan juga fizikal.
Akhir kata, jangan hanya bertakbir di jalanan, tapi usaha lain perlu dilakukan juga. Bina diri kita masing-masing di dalam bidang masing-masing dan barulah kita dapat membina sebuah empayar kegemilangan Islam. Tak guna hebat bertakbir di jalanan kalau hati busuk dan dengki dengan saudara seAgama sendiri..
Usaha perjuangan untuk membina kejayaan Islam BUKAN hanya demonstrasi di jalanan atau memboikot produk kafir laknatullah, tapi ia lebih daripada itu.
Kita tidak mahu semangat juang kita untuk Agama hanya bermusim, tetapi kita mahukan semangat yang tak akan goyah sampai ke akhir hayat.
Hanya sekadar pandangan peribadi. Yang baik daripada Allah, yang salah adalah daripada kekurangan diri saya sendiri.
Wallahu ‘alam.
Nota Peribadi: Bagi saya, memboikot barangan yang dapat kita boikot adalah satu bentuk jihad kecil. Lakukanlah apa saja yang paling mampu kita lakukan. Itu pun sudah memadai untuk saudara kita di sana. Tapi persoalannya, sampai bila? Takkan boikot je kot selama-lamanya? Wallahu ‘alam.
Kini anda sudah boleh mengucapkan selamat hari raya kepada kawan-kawan dengan menggunakan kad ucapan raya digital. Ianya percuma sahaja.
Cuma perlu copy kod HTML yang disediakan dan paste ke dalam mana-mana ruangan komen di Friendster dan Myspace kawan-kawan anda. Boleh juga letak di blog anda.
Posted by admin | Under Tazkirah
Monday Sep 22, 2008
Kita sering merasakan agak sukar untuk mendapatkan pendapatan di dalam berniaga atau sedikit sebanyak sering berasa gelisah hati dan tidak senang.
Dan dengan itu, kita hampir pecah kepala berfikir apakah sebab dan puncanya. Keadaan ini amat menggelisahkan hati dan duduk atau berdiri sama sahaja keadaannya.
Bagi saya, ada satu sebab yang utama selain sebab-sebab lain iaitu kita memegang atau mengambil hak orang tanpa mengembalikan atau memenuhi hak orang tersebut.
Sebagai contohnya:
1. Kita tidak memenuhi hak pembeli dengan sebaik-baiknya atau tidak memenuhi janji yang diberikan. Di situ kita telah berhutang janji dan bermaksud hak pembeli itu tidak kita penuhi.
2. Kita berjanji dengan seseorang untuk sama-sama berusaha dan membahagi keuntungan. Apabila tiba masanya, kita tidak memenuhi janji kita itu. Bermaksud, mereka hanya berpenat lelah membantu kita tetapi kita tidak memberikan hak mereka contohnya upah kepada mereka, atau keuntungan yang patut mereka dapat.
3. Hutang. Saya membahagikan hutang kepada dua jenis iaitu berhutang dengan orang yang tidak begitu kaya dan berhutang dengan orang kaya. Jika kita berhutang dengan kawan-kawan atau saudara-mara yang tidaklah begitu senang sangat hidup mereka, maka anda wajib segerakan membayar semula pinjaman tersebut.
Lain jika anda berhutang dengan si kaya, mungkin anda masih boleh meminta ruang waktu lagi untuk menunda bayaran. Tapi tidak dengan kawan-kawan atau saudara mara yang hidup lebih kurang dengan anda, maka JANGAN ZALIMI mereka jika anda telah mampu membayar mereka walaupun sedikit-sedikit.
4. Zakat. Jika anda telah mencukupi syarat untuk mengeluarkan zakat, maka anda wajib melakukannya. Sucikanlah harta dan pendapatan anda melalui zakat. Ini adalah perintah Allah dan ia wajib dilakukan jika telah cukup syaratnya.
Berapa sangatlah jumlah yang perlu dibayarkan. Allah menjanjikan pulangan dan balasan yang lebih besar bagi mereka yang mengeluarkan zakat atau sadaqah. Jika niat kita ikhlas, Allah akan memberikan rezeki yang berganda-ganda tanpa kita duga.
Kesimpulan
Hidup memegang atau mengambil hak orang secara zalim walaupun tidak berniat zalim adalah satu sikap yang mengundang kesusahan kepada diri sendiri sama ada gelisah hati atau rasa sukar untuk mendapatkan rezeki.
Allah memerintahkan agar kita sentiasa berlaku adil walaupun kita mungkin menghadapi sedikit kesusahan di peringkat awal. Tapi ia lebih baik daripada terus menerus memegang hak orang yang tidak berhak kita memegangnya tanpa rasa bersalah.
Tunaikanlah hak-hak orang jika kita memegang hak-hak mereka. Jangan tangguhkannya. Bertindaklah segera sebelum ajal dan maut menjemput.
Hak Allah jika tidak ditunaikan, kita masih boleh memohon keampunan dan kita mungkin diampunkan sebab Allah itu Maha Penyayang, Pengampun, Maha Kaya, Maha Adil dan Maha Mengetahui.
Tapi jika kita meninggalkan dunia ini dengan membawa hak-hak manusia yang tidak kita penuhi, sudah semestinya ia sedikit sebanyak menyukarkan kita di ‘dunia sana’ kerana kita masih terikat dengan hak-hak orang yang belum kita langsaikan..
Ketahuilah, jika kita tunaikan hak-hak manusia yang WAJIB kita penuhi, ALLAH akan tunaikan juga hak-hak kita. Di antara hak-hak kita itu adalah rezeki, keampunan, kebahagiaan dan kesenangan hidup. Allah akan memberikannya jika kita telah tunaikan hak-hak orang yang wajib kita penuhi.
Posted by admin | Under Tazkirah
Sunday Sep 21, 2008
Ayat 32 hingga 46 di dalam surah Al-Kahfi memberikan perumpamaan kehidupan dunia dan orang-orang yang tertipu dengannya.
Berikut adalah tafsiran ayat-ayat tersebut:
32. Dan berikanlah kepada mereka sebuah perumpamaan dua orang laki-laki, Kami jadikan bagi seorang di antara keduanya (yang kafir) dua buah kebun anggur dan Kami kelilingi kedua kebun itu dengan pohon-pohon kurma dan di antara kedua kebun itu Kami buatkan ladang.
33. Kedua buah kebun itu menghasilkan buahnya, dan kebun itu tiada kurang buahnya sedikitpun, dan Kami alirkan sungai di celah-celah kedua kebun itu,
34. dan dia mempunyai kekayaan besar, maka dia berkata kepada kawannya (yang mu’min) ketika ia bercakap-cakap dengan dia: “Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat”.
35. Dan dia memasuki kebunnya sedang dia zalim terhadap dirinya sendiri; dia berkata: “Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya,
36. dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan datang, dan jika sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu”.
37. Kawannya (yang mu’min) berkata kepadanya sedang dia bercakap-cakap dengannya: “Apakah kamu kafir kepada (Tuhan) yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitis air mani, lalu Dia menjadikan kamu seorang lelaki yang sempurna?
38. Tetapi aku (percaya bahwa): Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak mempersekutukan seorangpun dengan Tuhanku.
39. Dan mengapa kamu tidak mengucapkan tatkala kamu memasuki kebunmu “MAA SYAA ALLAH, LAA QUWWATA ILLAA BILLAH” (Sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit darimu dalam hal harta dan keturunan,
40. maka mudah-mudahan Tuhanku, akan memberi kepadaku (kebun) yang lebih baik daripada kebunmu (ini); dan mudah-mudahan Dia mengirimkan ketentuan (petir) dari langit kepada kebunmu, hingga (kebun itu) menjadi tanah yang licin;
41. atau airnya menjadi surut ke dalam tanah, maka sekali-kali kamu tidak dapat menemukannya lagi”.
42. Dan harta kekayaannya dibinasakan, lalu ia membulak-balikkan kedua tangannya (tanda menyesal) terhadap apa yang ia telah belanjakan untuk itu, sedang pohon anggur itu roboh bersama para-paranya dan dia berkata: “Aduhai kiranya dulu aku tidak mempersekutukan seorangpun dengan Tuhanku”.
43. Dan tidak ada bagi dia segolonganpun yang akan menolongnya selain Allah; dan sekali-kali ia tidak dapat dapat membela dirinya.
44. Di sana pertolongan itu hanya dari Allah Yang Hak. Dia adalah sebaik-baik Pemberi pahala dan sebaik-baik Pemberi balasan.
45. Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia adalah sebagai air hujan yang kami turunkan dari langit, maka menjadi subur kerananya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
46. Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.
Pelajaran:
1. Jangan ego dan sombong dengan kekayaan dan kejayaan yang dimiliki kerana ia adalah pemberian Allah SWT.
2. Harta benda kekayaan dan mempunyai pengikut-pengikut yang kuat bukanlah jaminan rahmat Allah SWT.
3. Apabila melihat kebesaran Allah seperti pemberian kekayaan dan rezeki melimpah ruah kepada kita, ucaplah “MAA SYAA ALLAH, LAA QUWWATA ILLAA BILLAH”. Sebaliknya jangan bangga kononnya itu semua adalah sebab usaha sendiri semata-mata.
4. Hamba yang leka, lalai dan alpa kepada Allah, akan dibalas dengan kerugian sama ada di dunia dan di akhirat.
5. Kehidupan dunia umpama air hujan yang turun ke bumi, lantas menyuburkan tanam-tanaman. Namun tanaman itu kelak akan kering jua dan diterbangkan angin begitu sahaja. Begitulah kehidupan sementara ini..
Sesungguhnya, tidak kisahlah kita banyak harta atau tidak, yang menjamin keredhaan Allah dan keselamatan di akhirat kelak adalah amalan-amalan soleh yang mana ia adalah jaminan yang terbaik berbanding yang lain-lain.